PESAKIT imsomnia perlu mendapat terapi dalam bentuk kaunseling psikologi. FOTO/AGENSI
Reuters

SAN FRANCISCO: Individu yang berdepan masalah untuk tidur dan tidur lena perlu mendapatkan nasihat doktor serta mengelak penggunaan pil tidur untuk jangka panjang, pakar perubatan memberi nasihat.

Amalan tidur yang baik dan terapi percakapan khusus mungkin membantu mencetuskan tabiat masa tidur yang baik dan menentukan mengapa mereka tidak dapat tidur lena, kata pakar dalam nasihat baharu untuk pesakit diterbitkan dalam JAMA Internal Medicine.

Penyelidikan terbaharu menunjukkan, penggunaan pil tidur amat biasa dan ubatan itu dikaitkan dengan kesan sampingan serius seperti terjatuh dan mati, kata penulis bersama kajian, Dr Michael Incze dari Universiti California di sini.

Pada 2017, American Academy of Sleep Medicine mencadangkan satu bentuk kaunseling psikologi digelar terapi perilaku kognitif (CBT) sebagai rawatan pertama untuk insomnia, diikuti preskripsi dan ubat belian kaunter. CBT memfokuskan mengenal pasti corak pemikiran dan perilaku yang menghalang tidur lena.

Kira-kira 10 peratus rakyat Amerika Syarikat (AS) mengalami insomnia kronik dan 30 peratus memiliki gejala sementara.

“Individu yang sering mengambil ubat tidur seharusnya digalakkan bercakap dengan doktor mereka untuk melihat dengan lebih mendalam mengapa mereka mengalami insomnia,” kata Incze kepada Reuters Health menerusi telefon.

Diperoleh secara percuma, ruangan baharu pesakit itu menawarkan tips praktikal mengenai diagnosis dan rawatan untuk insomnia. Ia termasuk skala visul pilihan terapi terdiri daripada ‘selamat dan terbukti berkesan’ kepada ‘berpotensi bahaya’ di sebelah lain.

Dalam langkah ‘selamat dan terbukti berkesan’ termasuk amalan tidur, CBT dan penggunaan pil tidur jangka pendek. Kaedah berbahaya termasuk menggabungkan pil tidur dengan opioid atau alkohol, penggunaan pil tidur oleh golongan dewasa lebih berusia dan amalan berterusan mengambil pil tidur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 12:29 PM