AIR naik daripada sungai Neuse akibat taufan Florence. FOTO/AFP
AFP

WILMINGTON: Pantai timur Amerika Syarikat bersedia dilanda Taufan Florence malam semalam ketika ribut kuat itu mula membadai Carolina Utara dan Carolina Selatan dengan angin kencang dan hujan, yang diramal akan menyebabkan banjir buruk.

Angin kencang mula bertiup di Carolina Utara, ketika pegawai pengurusan kecemasan persekutuan memberi amaran taufan Kategori 2 itu, walaupun sudah agak lemah, kekal menjadi ‘ribut amat bahaya’ yang mampu mencetuskan kemusnahan sepanjang pantai.

“Jangan disebabkan kelajuan angin menurun, kepadatan ribut diturunkan kepada Kategori 2, anda mula cuai,” kata pentadbir Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA), Brock Long.

Amaran ia boleh mencecah ketinggian 2.7 hingga 3.6 meter, beliau menggesa penduduk memandang serius ribut itu tanpa mengira kategori, berkata ia adalah mengenai air.

Florence diturunkan gred kepada ribut Kategori 2 daripada skala lima Saffir-Simpson tetapi masih mengumpul kekuatan angin mencecah 160 kilometer sejam, kata Pusat Taufan Kebangsaan (NHC).

Dengan angin semakin kuat di sepanjang pesisir pantai awal semalam, pegawai negeri dan persekutuan mengeluarkan arahan akhir supaya penduduk berpindah daripada laluan sistem cuaca ‘sekali seumur hidup itu’.

“Ribut itu membawa kemusnahan. Kesan bencana dapat dirasakan,” kata Gabenor Carolina Utara, Roy Cooper.

Banjir kecil dilaporkan di Outer Banks, kepulauan terumbu di luar pantai Carolina Utara, dan di beberapa bandar pesisir pantai, ketika lebih 110,000 gangguan bekalan elektrik dilaporkan di seluruh negeri.

Di Wilmington, Carolina Utara, hujan mula turun ketika kekuatan angin memuncak, menyebabkan pokok bergoyang dan lampu isyarat rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 12:06 PM