KESAN daripada peperangan di Syria. FOTO/AFP
AFP

BEIRUT: Lebih 360,000 orang terbunuh dalam perang saudara tujuh tahun di Syria kata Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) semalam, angka terbaharu konflik itu.

Angka itu didedahkan di tengah kebimbangan meningkat masyarakat antarabangsa bahawa serangan tentera rejim ke atas pemberontak di wilayah barat laut Idlib bakal menyaksikan satu ‘pertumpahan darah.’

SOHR berkata, ia merekodkan kematian 364,792 orang, hampir satu pertiga daripadanya orang awam, sejak bantahan meletus Mac 2011 menentang Presiden Bashar al-Assad.

Angka itu mewakili peningkatan kira-kira 13,000 orang sejak enam bulan lalu, menurut pemantau berpusat di Britain, yang menggunakan rangkaian meluas sumber terdiri daripada pejuang, pihak berkuasa dan kakitangan perubatan.

Perang itu mengorbankan 110,687 orang awam termasuk lebih 20,000 kanak-kanak dan hampir 13,000 wanita. Lebih 124,000 pejuang pro-kerajaan turut terbunuh, kira-kira separuh daripadanya tentera rejim dan bakinya terdiri daripada anggota militia setia Syria dan asing yang setia terhadap Assad. Antaranya, 1,665 daripada pergerakan Lubnan, Hizbullah.

SOHR merekodkan kematian 64,000 militan termasuk daripada Daesh dan bekas serpihan sekutu Al-Qaeda. Tambahan 64,800 adalah pemberontak dari pasukan lain termasuk tentera yang membelot dan serpihan Kurdis, terbunuh sejak 2011. Pemantau berkata, ia mengesahkan kematian tambahan 250 orang namun tidak dapat menjelaskan identiti mereka.

Dengan bantuan sekutu Russia dan Iran, Assad menawan semula hampir dua pertiga wilayah Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 11:40 AM