Cuomo (kiri) berdepan tentangan Cynthia pada pilihan raya New York. FOTO REUTERS
AFP

New York: Aktres terkenal melalui drama komedi ‘Sex and the City,’ Cynthia Nixon bertanding dalam pilihan raya New York menghadapi Gabenor Andrew Cuomo meskipun peluangnya dikatakan tipis untuk menang.

Ibu berusia 52 tahun dengan tiga anak itu mahu menjadi wanita pertama dan gabenor ‘gay’ pertama di negeri keempat paling ramai penduduk di Amerika Syarikat.

Penduduk New York mempunyai kecenderungan mengundi calon Parti Demokrat tetapi ada juga kawasan tertentu yang menyokong Parti Republikan.

Untuk itu Nixon perlu menewaskan Cuomo, 60, dalam pilihan raya memilih calon Demokrat terlebih dulu dan pengundian akan bermula pada 6 pagi waktu tempatan (6 pagi di Malaysia esok) sebelum ditutup pada 9 malam.

Nixon berkempen bersungguh-sungguh dengan harapan mendapat faedah daripada kemenangan calon yang bertanding kali pertama dalam beberapa kawasan bagi kerusi Kongres termasuk New York dan Boston.

“Sekarang bukan masanya untuk melihat sahaja. Inilah masanya untuk bangkit dan lawan,” katanya berucap kepada pengundi.

“Memang sukar kerana kita menghadapi jentera Cuomo dan tentu memerlukan semangat juang tinggi tetapi kita juga sudah letih dengan Cuomo. Kita tahu boleh buat lebih baik,” katanya.

Bagaimanapun, beliau masih ketinggalan dari segi sokongan dalam setiap kategori pengundi pada kadar 63-22 peratus, meskipun meningkat berbanding lewat Julai lalu - 60-29 peratus, menurut tinjauan terbaru Siena College.

Cuomo juga mendapat sokongan saat terakhir daripada artis bintang, Nicki Minaj yang memberitahu 20 juta penyokongnya di Twitter supaya mengundi gabenor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 7:37 PM