Kenderaan polis berkawal di Bakersfield, Kern County, California. FOTO AFP
Agensi

BAKERSFIELD: Lelaki tidak dikenali melepaskan tembakan menyebabkan lima orang terbunuh di California Selatan, semalam, sebelum membunuh diri, kata polis.

Lelaki itu mulanya membunuh isterinya dan seorang lagi lelaki di sebuah syarikat lori di sini, kata Sheriff Kern County, Donny Youngblood, dalam sidang media.

Dia kemudian mengejar seorang lagi lelaki dari syarikat berkenaan sebelum menembaknya di depan sebuah kedai menjual peralatan sukan.

Selepas itu, dia membunuh dua lagi lelaki di kediamannya, mengambil sebuah kenderaan daripada seorang wanita dan anaknya sebelum menembak diri sendiri apabila berdepan anggota keselamatan, kata Youngblood.

Semua kejadian itu mengambil masa antara 10 hingga 15 minit, katanya.

“Keadaan ini seperti perkara biasa jika anda lihat secara keseluruhannya di negara ini. Enam orang maut dengan begitu saja,” kata Youngblood lagi.

Pihak berkuasa sedang mencari punca kejadian, mengapa ramai yang terbabit dan hubungan antara mereka kerana ia bukan tembakan secara rambang, katanya.

Youngblood tidak mendedahkan identiti mangsa. Wanita yang kenderaannya diambil penyerang dan anaknya, selamat, katanya lagi.

Polis menemui sepucuk pistol di tempat kejadian. Pihak berkuasa kini mewawancara 30 saksi, kata Youngblood.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 4:47 PM