PASUKAN perubatan bertungkus-lumus merawat mangsa yang cedera yang dihantar ke beberapa hospital. - AFP
AFP

Jalalabad: Jumlah korban akibat serangan bom nekad ketika orang ramai menyertai bantahan di Nangarhar, dekat sini, kelmarin, meningkat kepada 68 orang semalam.

Serangan itu berlaku ketika Afghanistan dilanda keganasan di seluruh negara menjelang pilihan raya dan ketika sambutan bulan Muharram.

Penyerang meletupkan bom yang dipasang pada tubuhnya, serangan terbaru oleh pemberontak yang mengorbankan ratusan nyawa, termasuk anggota keselamatan.

Menurut jurucakap gabenor wilayah, Ataullah Khogyani, serangan itu menyebabkan 165 lagi cedera.

Sebelum serangan, ratusan penunjuk perasaan melakukan hadangan di lebuh raya antara bandar utama Jalalabad dengan lintasan masuk ke sempadan Pakistan, membantah pelantikan seorang ketua polis apabila penyerang terbabit meletupkan bom.

Mangsa yang maut dan cedera dikejarkan ke beberapa hospital menggunakan trak dan ambulans. Doktor dan jururawat dikatakan bertungkus-lumus merawat bilangan pesakit yang ramai.

Seorang mangsa yang cedera, Zar Khan berkata, dia nampak seorang lelaki keluar dari kereta dan berlari ke arah penunjuk perasaan.

“Kemudian letupan berlaku dan saya berlumuran darah serta dikelilingi mayat,” katanya yang ditemui di hospital.

Korban serangan itu antara yang tertinggi selepas ambulans dipenuhi bom diletupkan di tengah Kabul, Januari lalu, menyebabkan lebih 100 terbunuh. Taliban mendakwa bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 11:59 AM