GAMBAR hiasan

ROME: Seorang lelaki yang mereka cerita palsu mengenai restoran dan hotel Itali di laman web kembara TripAdvisor dihukum penjara sembilan bulan dan diarah membayar 8,000 euro (RM38,544) sebagai denda, kata syarikat itu, semalam.

Lelaki itu yang tidak dinamakan menawarkan untuk menulis komentar positif kepada premis perniagaan di seluruh Itali bagi meningkatkan ‘rating’ di laman web Tripadvisor.

Hukuman itu diputuskan oleh sebuah mahkamah di bandar Lecce, selatan Itali, Jun lalu, menurut kenyataan Tripadvisor. Belum ada apa-apa komen balas mengenainya daripada mahkamah itu setakat ini.

Laman web Tripadvisor dikatakan dibaca ratusan juta orang setiap bulan di talian.

“Kami anggap keputusan ini suatu yang bersejarah bagi masyarakat siber,” kata Tripadvisor.

“Menulis komentar palsu di laman web Tripadvisor sememangnya dilakukan di pelbagai tempat sekalipun ia melanggar undang-undang.

“Bagaimanapun, ini kali pertama kami melihat undang-undang itu dikuatkuasakan sehingga membawa kepada keputusan bersalah atas dakwaan jenayah.”

Sebuah syarikat milik Amerika Syarikat menyatakan, pemilik perniagaan di Itali mendapat maklumat pada 2015 bahawa seorang lelaki menawarkan untuk menulis laporan palsu bagi meningkatkan keuntungan di talian.

Siasatan susulan mendapati, ada pihak cuba menghantar lebih 1,000 laporan palsu untuk pelbagai perkara.

TripAdvisor percaya, ada ahli perniagaan memberi upah bagi pihak tertentu membuat laporan palsu tetapi mereka kemudian didenda menyebabkan kedudukan populariti perniagaan masing-masing terjejas. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 11:34 AM