BARISAN bintang yang menjayakan filem Crazy Rich Asians. Foto AFP
Reuters

PEMBUAT filem pertama Hollywood dibintangi semua pelakon Asia,‘Crazy Rich Asians’ berharap, ia dapat dinikmati peminat semua latar belakang.

Filem komedi romantik itu berkisar mengenai seorang warga AS berketurunan Asia dari New York pergi ke Singapura untuk bertemu keluarga teman lelakinya yang kaya namun masih mengekalkan tradisi Cina.

Filem itu berdasarkan buku terlaris pada 2013 dengan nama sama oleh penulis Kevin Kwan.

“Ia adalah perjalanan terlalu panjang sejak kami menyaksikan kesemua pelakon Asia dalam sebuah filem dari studio Hollywood, namun pada masa sama, ia adalah filem untuk semua orang.

“Buku saya dibaca di seluruh dunia dalam 20 bahasa dan di AS, 80 peratus pembaca saya adalah penduduk Texas, Oklahoma, Kansas yang berkulit putih namun gemarkan buku saya. Justeru, ia adalah filem yang dinikmati semua orang,” kata Kwan kepada Reuters dalam tayangan perdana karpet merah di Los Angeles kelmarin.

Filem itu dibintangi aktres terkenal seperti Michelle Yeoh, daripada filem ‘Crouching Tiger, Hidden Dragon,’ dan Constance Wu yang membintangi komedi televisyen AS, ‘Fresh Off the Boat’ bersama muka baharu seperti penyanyi rap New York dan aktres Awkwafina serta Henry Golding, yang dibesarkan di Britain.

Pengarah, Jon M. Chu berkata, tiada filem tunggal mewakili semua penduduk Asia di dunia, namun beliau berharap, plot dan pelakon dalam ‘Crazy Rich Asians’ dapat menunjukkan “kami berlapis dan rumit dan bukan hanya watak sampingan pekerja komputer atau seks.”

Filem terakhir studio Hollywood memaparkan sebahagian besar pelakon Asia adalah ‘The Joy Luck Club’ pada 1993. ‘Crazy Rich Asians’ menemui penonton di pawagam 15 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 2:13 PM