JUSTIN Trudeau ketika pertemuan bersama Presiden AppNexus, Michael Rubenstein pada 16 Mei 2018 di New York City, Amerika Syarikat. FOTO AFP
AFP

PERDANA Menteri Kanada, Justin Trudeau menggesa satu siasatan bebas diadakan selepas 60 Palestin dibunuh tentera Israel ketika protes Isnin lalu.

“Keganasan melampau dan penggunaan peluru hidup adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Amat penting untuk kita mengetahui fakta mengenai apa yang sedang berlaku di Gaza.

“Kanada menyeru siasatan bebas segera dijalankan untuk mengkaji secara menyeluruh fakta-fakta di lapangan, termasuk sebarang hasutan, keganasan dan penggunaan kekerasan yang berlebihan,” katanya.

Keganasan Isnin lalu berlaku serentak dengan perasmian kontroversi kedutaan baharu Amerika Syarikat di Baitulmaqdis, yang memecah tradisi antarabangsa sejak berdekad lalu.

Israel membenarkan penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan Palestin dengan alasan untuk mempertahankan sempadannya, yang cuba digugat penunjuk perasaan.

Difahamkan beribu-ribu orang Palestin berkumpul berhampiran sempadan manakala sejumlah kecil lagi cuba mendekati pagar dan berusaha untuk melepasinya.

Trudeau menawarkan bantuan Kanada dalam siasatan itu, sambil berikrar untuk bekerjasama dengan rakan kongsi dan institusi pelbagai hala untuk menangani situasi yang serius ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 9:08 PM