Enam sekeluarga yang melakukan serangan terhadap tiga gereja di Surabaya, Ahad lalu. - Agensi
Kanak-kanak perempuan lapan tahun yang terselamat dalam serangan bom terhadap balai polis, kelmarin. - Agensi

Surabaya: Kanak-kanak yang terbabit dalam serangan bom terhadap gereja dan balai polis di sini, bandar raya kedua terbesar Indonesia dalam tempoh 24 jam sejak Isnin lalu, tidak bercampur dengan masyarakat atau kanak-kanak lain.

Menurut polis Indonesia, siasatan berdasarkan temuramah dengan kanak-kanak yang terselamat mendapati mereka diasingkan daripada masyarakat dan bergaul dengan militan.

Dalam serangan terhadap tiga gereja, Ahad lalu, enam sekeluarga terbunuh bersama tujuh lagi mangsa, menjadikannya serangan pengganas terburuk di Indonesia sejak pengeboman restoran di Bali pada 2005.

Kelmarin, lima sekeluarga yang menaiki dua motosikal menyerang balai polis dengan meletupkan diri mereka menyebabkan empat daripada mereka terbunuh serta dua mangsa, manakala 10 lagi cedera.

Bagaimanapun, anak perempuan pasangan itu yang berusia lapan tahun, terselamat,

“Kanak-kanak terbabit ‘dipengaruhi’ pemikiran mereka oleh ibu bapa,” kata Ketua Polis Jawa Timur, Machfud Arifin, kepada Reuters.

Menurutnya, budak perempuan lapan tahun itu yang tiada bahan letupan diikat pada tubuhnya, tercampak sejauh tiga meter akibat letupan dan kini dirawat di unit rawatan rapi.

“Dia sudah sedar dan akan ditemani saudara-mara serta pekerja sosial apabila disoal polis nanti,” katanya.

Rakaman video di tempat kejadian menunjukkan budak perempuan itu terpinga-pinga selepas letupan bom sebelum anggota polis membawanya ke tempat selamat.

Polis di Sidoarjo, dekat Surabaya, menemui bom paip selepas satu letupan di sebuah apartmen, Ahad lalu, yang membunuh tiga sekeluarga, dipercayai pembuat bom.

Keseluruhan, tiga kanak-kanak daripada tiga keluarga terbabit, terselamat dan siasatan mendapati mereka hanya bergaul dengan ibu bapa serta orang dewasa yang sama ideologi.

Setiap petang Ahad, mereka bersolat bersama orang dewasa dan polis mendapati keluarga serangan bom gereja dengan keluarga pembuat bom di Sidoarjo adalah rakan baik.

Ketua Polis Indonesia, Tito Karnavian berkata, polis sedang menyiasat motif serangan selepas Daish menyatakan mahu membalas dendam terhadap hukuman penjara bekas pemimpin Jamaah Ansharut Daulah (JAD).

Menurutnya, bom yang digunakan dalam dua serangan itu sama dari segi pembinaan, amat berkuasa dan sensitif kepada pergerakan seperti digunakan militan Daish dalam perang di Iraq dan Syria.

Sementara itu, Presiden Joko Widodo menggelar penyerang sebagai ‘kejam’ berikutan tahap kerosakan dan hakikat kanak-kanak digunakan dalam serangan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 5:49 AM