ANGARAN 22 peratus beban kematian keseluruhan kanak-kanak perempuan bawah lima tahun di India akibat sikap prejudis jantina. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Hampir suku juta kanak-kanak perempuan bawah lima tahun di India maut setiap tahun akibat pengabaian kerana keutamaan masyarakat terhadap anak lelaki, menurut kajian diskriminasi jantina.

Penulis bersama jurnal perubatan The Lancet, Christophe Guilmoto dari Universiti Paris Descartes berkata, malah pengguguran dilakukan hanya kerana mengandungkan anak perempuan.

“Diskriminasi berasaskan jantina terhadap perempuan bukan saja menyebabkan mereka dihalang daripada dilahirkan, ia juga menjurus kematian mereka yang sudah dilahirkan.

“Kesamaan jantina bukan hanya mengenai hak seseorang gadis mendapat pendidikan, pekerjaan atau perwakilan politik, ia juga mengenai penjagaan vaksinasi dan nutrisi serta pada akhirnya kesinambungan hayat,” kata Guilmoto.

Guilmoto dan pasukan itu menggunakan data populasi dari 46 negara untuk mengira berapa ramai kanak-kanak perempuan maut dalam masyarakat di mana tiada kesan diskriminasi dan berapa ramai mati secara realiti.

Perbezaannya ialah, kira-kira 19 kematian bagi setiap 1,000 bayi perempuan yang lahir antara 2000 dan 2005 dianggap kesan jantina berat sebelah.

Ia bersamaan kira-kira 239,000 kematian setiap tahun atau 2.4 juta dalam tempoh sedekad.

“Kira-kira 22 peratus beban kematian keseluruhan kanak-kanak perempuan bawah lima tahun di India akibat sikap prejudis jantina,” kata Institut Antarabangsa untuk Sistem Analisis Gunaan (IIASA) berpusat di Austria dalam satu kenyataan.

Masalah itu terutama agak teruk di utara India, kata penyelidik dengan negeri seperti Uttar Pradesh, Bihar, Rajasthan dan Madhya Pradesh, menyumbang dua pertiga daripada kematian berlebihan.

Paling terjejas adalah rantau miskin pertanian di luar bandar dengan tahap pendidikan rendah, ketumpatan tinggi populasi dan kadar kelahiran tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 10:34 AM