Tindakan itu mencetuskan protes di luar pusat peperiksaan lain. - Agensi

New Delhi: Sebuah kolej di India diharam mengendalikan peperiksaan selepas kakitangannya memotong lengan baju calon wanita bagi mengelak mereka menipu dalam peperiksaan kejururawatan, kata pihak berkuasa semalam.

Satu rakaman video menunjukkan kakitangan di kolej terbabit menggunakan gunting dan pisau untuk mengerat lengan baju terbabit sebelum membenarkan mereka masuk ke dewan peperiksaan, kelmarin.

Kejadian dikatakan berlaku di daerah Muzaffarpur, Bihar apabila beberapa calon peperiksaan wanita kelihatan membawa lengan baju yang dipotong itu ketika polis mengawal luar dewan berkenaan.

Tindakan itu mencetuskan bantahan di luar pusat peperiksaan, selain mengundang kecaman di media sosial.

Pegawai Pendidikan Daerah, Lalan Prasad Singh berkata, tindakan itu dilakukan untuk melindungi calon peperiksaan, namun pihaknya juga melakukan siasatan untuk mengenal pasti individu bertanggungjawab.

“Kolej itu diharamkan mengendalikan peperiksaan,” katanya kepada wartawan.

Penipuan ketika mengambil peperiksaan dilaporkan sering berlaku di negeri timur India hingga menjadi tajuk berita.

Hampir 1,000 pelajar dibuang kerajaan negeri Bihar pada Februari lalu atas kesalahan menipu dalam peperiksaan.

Pada Februari 2016, calon tentera hanya mengenakan seluar dalam untuk mengambil peperiksaan bertulis ketika hari pengambilan di Muzaffarpur.

Pihak berkuasa sebelum ini sudah mengharamkan pelajar memakai kasut, yang menyukarkan mereka untuk membawa masuk kertas.

Selain itu, beratus-ratus ibu bapa pernah ditahan kerana membantu anak mereka menipu dan ada sebahagian mereka memanjat tangga untuk mengedarkan kertas jawapan ke dalam dewan peperiksaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 3:33 AM