POLIS sempadan Israel melepaskan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan. - Reuters
PENUNJUK perasaan Palestin mengalihkan tayar yang terbakar ketika memprotes pembukaan kedutaan AS di Baitulmaqdis. - Reuters
Agensi

Gaza: Lebih 40 penduduk Palestin terkorban ditembak tentera Israel dalam tunjuk perasaan hingga mencetuskan pertempuran berikutan perpindahan kedutaan Amerika Syarikat ke Baitulmaqdis, semalam.

AFP melaporkan, menurut Kementerian Kesihatan Palestin, kesemua mangsa itu maut ditembak dalam pertempuran ganas di lima kawasan sepanjang sempadan Gaza.

Menurut kementerian itu, antara mangsa yang maut ialah remaja 14 tahun, manakala lebih 500 penduduk lagi cedera.

Tunjuk perasaan membantah pemindahan kedutaan Amerika itu serentak dengan ‘Perarakan Pulang Besar-Besaran’ yang dirancang berlangsung enam minggu sejak 30 Mac lalu.

Sehingga berita ini di tulis pihak berkuasa perubatan Palestin menyatakan selain 41 korban terbaru itu, tentera Israel membunuh 45 penduduk Palestin sejak perhimpunan bermula.

Reuters melaporkan, tentera Israel menghantar pasukan tambahan ke sempadan Gaza semalam, selain menggugurkan risalah memberi amaran kepada penduduk Palestin supaya ‘tidak menjadi alat Hamas’ serta jangan menghampiri atau merosakkan pagar sempadan.

Menurut saksi, pesawat Israel turut menggugurkan bahan mudah terbakar bagi memusnahkan tayar yang dikumpul penunjuk perasaan yang biasanya dibakar dan digolek ke pagar sempadan.

Hanya 33 daripada 86 wakil diplomat asing yang dijemput akan menghadiri majlis itu. Ini termasuk Guatemala serta Paraguay yang akan membuka kedutaan mereka di Baitulmaqdis, akhir bulan ini.

Majlis perasmian itu susulan pengumuman Presiden AS Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negeri Israel juga serentak ketegangan yang semakin memuncak di rantau itu.

Ia juga menyusul pengumuman Trump minggu lalu bahawa AS menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran diikuti serangan Israel dua hari kemudian terhadap puluhan sasaran Iran di Syria bagi membalas tembakan roket terhadap tentera Tel Aviv di Bukit Golan yang didakwa dilakukan Teheran.

Perbalahan dan pertempuran di sempadan Gaza berlaku sejak beberapa minggu lalu dengan 54 orang Palestin mati ditembak sejak 30 Mac lalu.

Tiada rakyat Israel cedera dan tentera dikritik kerana menggunakan peluru hidup.

Israel mendakwa cuma melepaskan tembakan bila perlu untuk menghalang penyelinapan, serangan dan kerosakan terhadap pagar sempadan selain menuduh Hamas menggunakan protes berkenaan sebagai alasan untuk melaksanakan keganasan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 3:25 AM