Anggota polis tidak bertugas menembak lelaki cuba melakukan rompakan bersenjata. FOTO Ferreira Master/Daily Mail
Daily Mail

Sao Paulo: Cubaan lelaki melakukan rompakan bersenjata di sebuah sekolah swasta di Sao Paulo, Brazil memakan diri apabila dia ditembak seorang ibu yang juga pegawai polis di luar waktu bertugas.

Kejadian berlaku pada Sabtu lalu apabila wanita itu, Katia da Silva Sastre, 42, turut menunggu bersama ibu bapa lain di sekolah terbabit.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek dikenali sebagai Elivelton Neves Moreira, 21, kelihatan menghampiri orang ramai di luar sekolah sambil memegang sepucuk pistol.

Bagaimanapun, usahanya gagal apabila Katia mengeluarkan pistol dan melepaskan tiga tembakan ke arah suspek menyebabkannya rebah di atas jalan.

Moreira kemudian disahkan meninggal dunia di hospital.

Katia mendapat pujian atas keberaniannya menumpaskan suspek dan diberi penghargaan dalam satu majlis khas oleh Gabenor Sao Paulo, Marcio Franca, semalam.

“Saya tidak tahu sama ada dia akan menembak kanak-kanak, ibu bapa atau pengawal keselamatan sekolah itu.

“Saya cuma ingin melindungi mereka termasuk nyawa saya dan anak-anak,” kata ibu kepada dua anak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 11:15 PM