GAMBAR menunjukkan pemetik api dikeluarkan daripada dalam perut pesakit (kiri). - FOTO People’s Daily Online/Cover News/Jiangxi Network TV
Agensi

Chengdu: Doktor di sebuah hospital di bandar ini membuat satu pembedahan mengeluarkan pemetik api dari perut seorang lelaki yang secara tidak sengaja menelan objek berkenaan 20 tahun lalu.

Media China melaporkan, lelaki itu yang tidak dinamakan menelan pemetik api secara tidak sengaja dan tidak pergi ke hospital kerana tidak mengalami sebarang gejala luar biasa.

Bagaimanapun, beberapa tahun lalu lelaki itu mula merasa sakit perut dan mengeluarkan najis berdarah.

Apabila penyakit itu semakin melarat, lelaki itu teringat dia pernah menelan pemetik api dan terus datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Doktor memberitahu, satu prosedur dilakukan pada 12 April lalu untuk mengeluarkan pemetik api sepanjang sembilan sentimeter berkenaan.

Lelaki itu pernah menjalani prosedur yang sama sebelum ini tetapi doktor gagal mengeluarkan pemetik api itu kerana ia terlalu licin.

Pemedahan kedua itu berjalan dengan lancar dan dalam tempoh 10 minit pemetik api berkenaan berjaya dikeluarkan.

Menurut doktor, lelaki itu ditahan di hospital untuk pemantauan sebelum dibenarkan pulang selepas keadaannya semakin baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 8:48 PM