KEADAAN Masa ketika mendapatkan rawatan selepas serangan kimia di Douma yang dilancarkan tentera Syria. - Agensi
Agensi

Damsyik: “Saya melihat mereka membawa mayat naik dari bilik bawah tanah. Apabila menarik nafas kami hanya menghidu bau darah.”

Begitu kata-kata budak perempuan tujuh tahun, Masa, yang terselamat dalam serangan disyaki membabitkan kimia di Syria mengenai saat dia melihat ‘tong’ dipercayai berisi bahan kimia dilepaskan ke rumahnya.

Dalam temu bual yang disiarkan BBC, Masa berkata, dia sekeluarga menyorok dalam bilik bawah tanah bersama puluhan jiran mereka di Douma ketika terdengar bunyi pesawat sebelum tong berkenaan dilepaskan.

“Tong itu tidak meletup tetapi saya terdengar bunyi ‘fessshh’ (mendesis). Kami diarahkan lari ke atas sebelum saya dan adik kembar, Malaz, dibawa ke tempat pemeriksaan kesihatan serta disimbah air untuk mencuci bahan kimia.

“Saya melihat banyak mayat bergelimpangan termasuk kanak-kanak dan bayi.”

Masa dan beberapa kanak-kanak lain dipaparkan dalam siaran berita ketika disimbah air oleh kakitangan kesihatan selepas serangan berkenaan. Amerika Syarikat (AS) percaya sarin dan klorin digunakan dalam serangan 7 April lalu itu yang membunuh sekurang-kurangnya 75 orang.


TONG gas yang dipercayai mengandungi bahan kimia dipercayai dijatuhkan dalam serangan di Douma. - Agensi

Masa memberitahu Sunday Times, bajunya berbau seperti klorin, malah dalam temu bual dengan keluarga itu, The Times melaporkan bapanya menunjukkan baju kemeja T dipakai kanak-kanak itu pada hari berkenaan yang berbau seperti air kolam renang seterusnya menguatkan dakwaan klorin digunakan.

Kerajaan Syria dituduh melancarkan serangan kimia terhadap rakyatnya sendiri dan kejadian itu kini disiasat oleh pakar senjata kimia.

AS bersama Britain dan Perancis melancarkan serangan udara terhadap lokasi senjata kimia Syria pada Sabtu lalu sebagai membalas serangan terhadap Douma itu.

Bagaimanapun, kerajaan Syria dan sekutu kuatnya Russia menafikan tenteranya melancarkan senjata kimia, sebaliknya menuduh kumpulan penentang atau negara Barat sengaja mereka bukti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 2:19 AM