SEORANG anggota tentera merakam video sisa runtuhan Pusat Kajian Saintifik di Damsyik, Syria yang musnah dalam serangan udara diketuai AS kelmarin. - Reuters
Reuters

London: Britain tiada rancangan buat masa ini untuk mengulangi serangan peluru berpandu terhadap Syria tetapi London akan mempertimbangkan tindakan seterusnya sekiranya Presiden Bashar al-Assad sekali lagi menggunakan senjata kimia terhadap rakyatnya, kata Menteri Luar Britain, Boris Johnson semalam.

Sebagai tanda sokongan terhadap keputusan Perdana Menteri Britain, Theresa May menyertai Amerika Syarikat dan Perancis untuk menyerang kemudahan senjata kimia di Syria kelmarin, Johnson berkata, itu adalah tindakan yang betul.

Bagaimanapun, Theresa mungkin tidak mendapat sokongan sama ketika dia hadir ke Parlimen hari ini.

Beberapa anggota Parlimen berang kerana Theresa mengambil tindakan ketenteraan tanpa kelulusan Parlimen - satu proses yang semakin menjadi tradisi di Britain.

Dalam satu wawancara dengan BBC, Johnson berkata, serangan terhadap tiga lokasi di Syria itu adalah satu mesej dari seluruh dunia yang hilang sabar terhadap rejim Bashar.

Bagaimanapun, Johnson tidak dapat mengatakan bahawa rejim Bashar masih memiliki senjata kimia.

“Tiada rancangan untuk melancarkan serangan baru setakat ini, terima kasih kerana rejim Bashar tidak terlalu bodoh untuk melancarkan serangan kimia lagi.

“Bagaimanapun, sekiranya serangan itu berlaku lagi dan jelas kami bersama negara sekutu akan menilai pilihan yang ada,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 10:18 AM