KELUARGA Rohingya menjalani pemeriksaan kesihatan selepas ditempatkan semula di kem penempatan Taungpyoletwei di Rakhine. - AFP

Yangon: Satu keluarga menjadi kumpulan pertama daripada 700,000 pelarian Rohingya di Bangladesh yang ditempatkan semula oleh Myanmar dalam pada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran keadaan masih tidak cukup selamat untuk golongan itu.

Myanmar dalam kenyataan di Facebook berkata, lima sekeluarga itu dihantar ke kem penempatan semula Taungpyoletwei di Rakhine, pagi kelmarin.

Kenyataan turut memaparkan gambar seorang lelaki, dua wanita serta budak perempuan dan lelaki menerima kad pengenalan selain melalui pemeriksaan kesihatan.

Menurut kenyataan itu, keluarga itu dihantar tinggal sementara waktu dengan keluarga di Maungdaw tetapi tidak menyatakan perancangan masa depan untuk sesiapa yang merancang pulang dalam masa terdekat.

Pihak berkuasa melakukan proses menentukan sama ada mereka pernah tinggal di situ selain memberikan Kad Pengesahan Kebangsaan - dokumen pengenalan diri yang bukan pengiktirafan kerakyatan penuh.

Kad itu ditolak pemimpin Rohingya yang mahukan hak penuh untuk kumpulan berkenaan.

PBB dan kumpulan hak asasi lain sebelum ini memberi amaran penghantaran pulang Rohingya belum patut dilakukan kerana Myanmar masih belum menyelesaikan isu diskriminasi serta penindasan terhadap golongan minoriti itu yang berlaku sejak berdekad-dekad lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 10:17 AM