ANGGOTA polis melakukan siasatan di rumah dipecah masuk di Lintou, wilayah Guangdong, China. - Agensi
Agensi

Beijing:Bau kaki terlalu busuk ‘mengkhianati’ seorang perompak kerana menyebabkan dia dikesan pemilik rumah di bandar Lintou, wilayah Guangdong, China, yang dipecah masuk sebelum ditahan polis.

Menurut laporan media China, lelaki itu berusaha mengelak meninggalkan kesan dan bukti sebelum memecah rumah berkenaan, termasuk menanggalkan kasutnya kerana tidak mahu meninggalkan kesan tapak.

Dalam kejadian hujung minggu lalu, lelaki itu kemudian menyelongkar rumah berkenaan bagi mencari barang berharga.

South China Morning Post melaporkan, ketika sibuk menggeledah, pemilik rumah berkenaan pulang menyebabkan perompak terbabit bergegas lari menyembunyikan diri di bawah katil.

Namun, bau kakinya yang terlalu busuk menimbulkan rasa curiga pemilik rumah lalu berusaha mencari puncanya sebelum menemui lelaki berkenaan di bawah katil.

Lelaki berasal dari daerah Hanshan, wilayah Anhui itu melarikan diri, namun berjaya ditahan polis di rumahnya.

Menurut laporan Kankannews.com, suspek yang tidak didedahkan identiti itu dikatakan penjenayah biasa yang mahir memecah rumah dan dia ditahan beberapa jam selepas kejadian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 12:49 PM