RASHEED Nekkaz membayar denda seorang wanita yang memakai burqa di Perancis. - Foto Reuters (Fail)
Agensi

Copenhagen: Seorang ahli perniagaan Algeria berjanji membayar denda wanita Islam yang memakai burqa di Denmark jika pemakaiannya diharamkan kerajaan negara berkenaan.

Rasheed Nekkaz yang ditemui di depan Parlimen Denmark, semalam, memberitahu Anadolu Agency, ia susulan kerajaan Denmark mencadangkan larangan pemakaian burqa atau niqab di tempat awam pada 6 Februari lalu.

Rasheed sudah membayar 1,538 denda untuk wanita yang dikenakan denda seumpama itu di enam negara iaitu Perancis, Belgium, Switzerland, Belanda, Austria serta Jerman.

Ahli perniagaan dan aktivis politik itu mengumpul dana 1 juta euro (RM4.8 juta) untuk membayar denda wanita yang memakai niqab atau burqa selepas diharamkan pemakaiannya pada 2010.

“Penting untuk membuka mata kerajaan Eropah bahawa mereka menyekat kebebasan. Mereka tidak boleh berbuat sesuka hati,” katanya kepada Al Jazeera.

Menurutnya, baru-baru ini, dia ke Iran untuk menyokong pembebasan 29 wanita yang ditahan pada 8 Mac lalu, kerana enggan memakai hijab pada Hari Wanita Sedunia.

“Saya bukan mempertahankan agama, sebaliknya kebebasan. Prinsip kebebasan adalah hak sejagat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 9:29 AM