BUAYA yang dirakam penduduk di Inghanm, Queensland. - Facebook
Reuters

Melbourne: Selepas banjir di Queensland surut, penduduk beberapa bandar di negeri utara Australia itu berdepan pula bahaya baru iaitu buaya.

Menerusi beberapa gambar dirakam penduduk, haiwan tidak diundang itu berjaya sampai ke bandar Ingham di utara negara itu, selepas empat hari hujan lebat memecahkan tebing sungai dan membanjiri beberapa bandar.

Penyelidik buaya di Zoo Australia Queensland, Toby Millyard berkata, reptilia itu gemar menggunakan air banjir untuk ke kawasan berbeza dan mencari makanan.

“Beberapa jenis buaya menyukai hujan dan ia menggunakan arus air untuk bergerak, ia sangat bijak.

“Cukup mudah untuk menjauhi reptilia ini. Selagi anda tidak berada di dalam air atau berdiri di gigi air, anda tidak perlu risau,” kata Millyard dalam temubual di telefon.

Pagi Ahad lalu, sekumpulan pelajar dan guru sekolah yang terkandas akibat banjir diselamatkan dari tapak perkhemahan yang terpencil di selatan bandar Tully, kata jurucakap Perkhidmatan Bomba dan Kecemasan Queensland (QFES).

Perdana Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk memberitahu media, ia akan mengambil masa beberapa minggu untuk menentukan sejauh mana kerosakan yang dialami, terutama pada tanaman pisang dan tebu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 9:20 AM