POLIS membawa keluar mayat mangsa pembunuhan di Tangerang, dekat Jakarta. - Foto Agensi
Agensi

Jakarta: Polis yakin pembunuh seorang wanita dan dua anak perempuannya di Tengerang, Banten, dekat sini, kelmarin, ialah suami wanita itu sendiri yang turut cedera parah.

Mayat tiga mangsa yang berlumuran darah ditemui dalam satu bilik rumah mereka oleh penduduk kampung, manakala si suami, dikenali sebagai Efendi, 55, cedera parah.

Media Indonesia melaporkan, jurucakap polis Tangerang, Manurung, berkata, siasatan termasuk menyoal siasat tujuh penduduk memutuskan pembunuhan itu dilakukan Efendi kerana masalah keluarga.

Menurut Manurung, Efendi menekap isteri dikenali sebagai Emah dan dua anak perempuannya, Nova, 23, serta Tiara, 11, dipercayai menggunakan bantal sebelum menikam mereka hingga mati.

Ditanya mengenai motif pembunuhan, beliau berkata: “Masalah keluarga.”

Liputan6 melaporkan sebelum kejadian, penduduk terdengar pertengkaran antara suami dan isteri terbabit.

Jiran keluarga itu dikenali sebagai Marti berkata, dia curiga kerana tidak melihat keluarga terbabit keluar dari rumah sehingga petang lalu meninjau rumah mangsa, namun tidak berani masuk.

Dia kemudian memanggil ketua kampung dan mereka memutuskan masuk ke dalam rumah itu yang pintunya tidak berkunci kira-kira jam 4.30 petang, sebelum menemui tiga mangsa berlumuran darah dalam sebuah bilik, manakala Efendi ditemui dibilik belakang.

“Emah dan dua anaknya berpelukan dengan muka mereka ditutup bantal dan selimut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 7:54 AM