VILLA disewa Oxfam di Haiti yang dikatakan menjadi lokasi pesta seks. Gambar kecil, Penny. - Daily Mail
Agensi

London: Timbalan ketua eksekutif pertubuhan kebajikan antarabangsa, Oxfam meletak jawatan semalam berhubung skandal seks membabitkan pegawai dan petugas badan itu yang didakwa memperdagangkan bantuan untuk seks.

“Sebagai pengarah program ketika itu, saya berasa malu kerana ia berlaku ketika di bawah pengawasan saya dan saya bertanggungjawab sepenuhnya,” kata Penny Lawrence dalam satu kenyataan.

Pertubuhan dari Britain itu dikritik hebat kerana kurangnya ketelusan berhubung salah laku petugas badan itu yang didakwa melanggan perkhidmatan pelacur di Haiti ketika misi bantuan gempa bumi pada 2010.

Satu sumber memberitahu, beberapa petugas Oxfam dituduh meminta habuan seks daripada orang ramai sebagai tukaran untuk bantuan kebajikan yang disalurkan badan itu.

Beberapa petugas juga dilaporkan pernah terbabit dalam beberapa kes seperti cubaan merogol mangsa bencana, mengeksploitasi kanak-kanak untuk tujuan seks, mendera dan pelbagai lagi tuduhan seksual lagi.

Bagaimanapun, pertubuhan itu menafikan mereka mahu menutup skandal berkenaan.

Tuduhan berkenaan turut tertumpu terhadap bekas pengarah Oxfam Haiti, Roland van Hauwermeiren yang sebelum ini mengetuai misi bantuan di Chad.

Akhbar The Times yang membongkarkan skandal itu melaporkan, Oxfam mengetahui dakwaan salah laku seksual terhadap van Hauwermeiren ketika bertugas di Chad tetapi tetap melantik lelaki itu untuk mengetuai misi bantuan di Haiti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 6:24 AM