Spesis cicak di State Museum of Natural History (Staatliches Naturkundemuseum), Jerman. FOTO AFP
AFP

IRAN mendakwa negara Barat melatih cicak untuk menjadi perisik untuk mendapatkan maklumat mengenai program nuklear negara itu.

Perkara itu didedahkan bekas ketua staf tentera Iran yang memberitahu cicak berkenaan mampu menarik gelombang atom.

Penasihat ketenteraan kanan pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, Hassan Firuzabadi berkata demikian ketika menjawab soalan media tempatan mengenai penahanan beberapa pengkaji alam sekitar di negara itu, baru-baru ini.

Katanya, dia tidak mengetahui perincian kes itu namun mendakwa Barat sering menggunakan pelancong, saintis dan pencinta alam sekitar untuk mengintip Iran.

“Beberapa tahun lalu, beberapa individu datang ke Iran untuk mengutip bantuan untuk Palestin. Kami mengesyaki itu menjadi laluan pilihan mereka.

“Mereka memiliki pelbagai jenis spesis reptilia gurun seperti cicak dan sesumpah. Kami mendapati kulit haiwan ini menarik gelombang atom.

“Mereka adalah pengintip nuklear dalam Iran yang mahu mencari lombong uranium serta lokasi aktiviti nuklear negara ini,” katanya kepada agensi berita IRNA.

Kenyataan beliau timbul susulan laporan pencinta alam sekitar keturunan Iran-Kanada, Kavous Seyed Emami maut dalam penjara selepas ditahan bersama beberapa ahli kumpulan NGO hidupan liar, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 8:15 PM