SEPULUH lelaki etnik Muslim Rohingya dengan tangan diikat ketika ditahan tentera Myanmar di perkampungan Din, Rakhine, pada 2 September 2017. - Reuters
Reuters

Naypidaw:Kerajaan Myanmar akan mengambil tindakan terhadap 10 anggota keselamatan Myanmar yang terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai etnik Muslim Rohingya di Rakhine.

Jurucakap kerajaan, Zaw Htay, bagaimanapun menegaskan ia tiada kaitan dengan laporan Reuters terhadap kejadian berkenaan.

Jumaat lalu, Reuters menerbitkan laporan memperincikan pembunuhan 10 lelaki Rohingya di Inn Din, Rakhine, yang ditanam dalam kubur besar selepas mereka ditetak atau ditembak mati oleh jiran serta askar beragama Buddha.

Zaw berkata, ‘tindakan mengikut undang-undang’ akan diambil terhadap tujuh askar, tiga polis dan enam orang awam hasil siasatan tentera yang dimulakan sebelum laporan Reuters itu diterbitkan.

Beliau bagaimanapun, tidak menyatakan tindakan yang akan dikenakan terhadap 16 suspek terbabit.

Pada 10 Januari lalu, tentera mendakwa 10 lelaki Rohingya terbabit adalah sebahagian daripada 200 anggota kumpulan pengganas yang menyerang pasukan keselamatan.

Penduduk kampung beragama Buddha menyerang kumpulan itu menggunakan pedang, manakala beberapa antara mereka ditembak mati askar.

Versi tentera itu bagaimanapun jauh berbeza daripada kisah diceritakan kepada Reuters oleh penduduk Buddha Rakhine dan saksi Muslim Rohingya.

Penduduk beragama Buddha sendiri berkata, tiada serangan oleh kumpulan pemberontak terhadap anggota keselamatan di Inn Din.

Menurut saksi Rohingya, berkata, askar mengambil 10 lelaki itu secara rambang daripada ratusan lelaki, wanita serta kanak-kanak yang berlindung di pantai berhampiran.

Hampir 690,000 Rohingya melarikan diri dari Rakhine ke selatan Bangladesh sejak Ogos lalu, selepas serangan di pos kawalan tentera kononnya oleh pemberontak mencetuskan tindakan balas tentera yang dikatakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai penghapusan kaum.

Susulan siasatan Reuters terhadap kejadian itu, dua wartawannya rakyat tempatan Wa Lone serta Kyaw Soe Oo ditahan pada 12 Disember lalu dan kini berdepan tuduhan mengikut Akta Rahsia Rasmi kerana memperoleh dokumen rahsia. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 11:07 AM