LELAKI dipercayai penuntut universiti bersenjatakan pedang menyerang gereja di Jogjakarta, semalam. - Agensi
Agensi

Jogjakarta: Polis mengenal pasti lelaki yang menyerang gereja Gereja Santa Lidwina, Jogjakarta, semalam, sebagai penuntut pusat pengajian tinggi di bandar raya itu dikenali sebagai Suliyono.

Detik News melaporkan, Ketua Polis Daerah Istimewa Jogjakarta, Ahmad Dofiri berkata, pihaknya merampas pedang yang digunakan dalam serangan itu menyebabkan enam cedera sebelum penyerang terbabit cedera ditembak polis.

“Penyerang itu turut membawa ijazah atau sijil dan polis menyiasat kemungkinan ia mempunyai rakan subahat,” katanya.

AFP melaporkan, lelaki bersenjatakan pedang mencederakan sekurang-kurangnya empat mangsa, termasuk seorang pastor ketika upacara keagamaan gereja berkenaan.

Polis mengesahkan suspek yang ditembak di perut sudah ditahan dan dirawat di hospital.

Menurut polis, empat mangsa cedera serius dan ketika kejadian, kira-kira 100 orang berada dalam gereja berkenaan apabila suspek menyerbu masuk membawa pedang sepanjang satu meter dan menyerang orang ramai secara rambang.

Sementara itu, Majlis Ulama Indonesia (MUI) kesal dengan kejadian serangan terhadap pastor dan penganut Kristian di Gereja Santa Lidwina, Jogjakarta semalam, kerana ia tidak mencerminkan nilai-nilai agama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 11:03 AM