Saya tak cakap macam tu... - Foto Daily Mail
Agensi

RAKYAT Norway menempelak Presiden Donald Trump dengan menyatakan kenapa mereka perlu berhijrah ke Amerika Syarikat, meninggalkan kemakmuran dinikmati, termasuk pendidikan dan perubatan percuma.

Penduduk Afrika pula membalas dengan marah terhadap penghinaan Trump apabila memarahi pegawainya mengenai isu pendatang dengan berkata: “Kenapa kita ada orang dari negara ‘shit hole’ di sini?

“Kenapa kita perlukan lebih ramai pendatang Haiti? Buang mereka

“Saya keliru, kenapa tiada siapa dari Norway berhijrah ke Amerika?”

Jurucakap agensi hak asasi manusia PBB, Rupert Colville, berkata tiada perkataan lain boleh digunakan bagi menggambarkan kata-kata Trump itu selain perkauman.

“Jika disahkan, ia kenyataan yang mengejutkan dan memalukan daripada Presiden Amerika Syarikat,” katanya.

Menurut Daily Mail, berikutan kenyataannya itu, rakyat Norway menghujani media sosial dengan komen mereka.

Antaranya komen di Twitter berbunyi: “Kenapa kami mahu melepaskan perkhidmatan perubatan percuma, gaji yang menarik dan perkhidmatan awam yang cekap?”

Seorang lagi menulis: “Saya tidak akan berpindah ke Amerika. Perubatan, pendidikan percuma di sini, percutian lima minggu dan lapan jam bekerja sehari. Terima kasih sajalah Trump”

Komen lain: “Norway ada: Perkhidmatan perubatan untuk semua, kesatuan sekerja yang kuat. Cuti bersalin berbayar. Kenapa rakyat Norway nak berhijrah?”

Ada yang menulis dengan menyindir: “Sudah tentu penduduk Norway suka berpindah ke negara yang rakyatnya akan ditembak, hidup miskin, tiada perubatan percuma kerana mereka miskin, cuti bersalin tidak berbayar atau subsidi penjagaan anak dan tidak ramai wanita berkuasa dalam politik. #s**thole.'

Kata-kata menghina oleh Trump itu dibuat ketika mesyuarat di Rumah Putih mengenai isu pendatang dan beliau mahu tahu kenapa Amerika perlu menerima pendatang dari negara yang dianggapnya 's**thole' merujuk kepada Haiti, El Salvador dan beberapa negara Afrika.

Menurut AFP, akhbar Washington Post menyiarkannya perkara itu dibocorkan beberapa anggota mesyuarat dan komen yang sama kemudian turut dilaporkan New York Times memetik mereka yang ada kaitan langsung dengan mesyuarat terbabit.

Lewat hari ini, Trump melalui Twitter menafikan mengegeluarkan kata-kata berkennaan 's**thole' namun mengakui perkataan yang digunakannya agak keras.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 10:22 PM