Dmitry Grachyov, 26, dalam penjara dan kanan, bersama isterinya, Margarita. - Foto The Mirror
Agensi

AKIBAT cemburu buta, seorang lelaki bertindak memotong kedua-dua tangan isterinya dengan kapak dalam sebuah hutan di Moscow, Russia, selepas menuduh isterinya curang.

International Business Times melaporkan, lelaki itu, Dmitry Grachyov, 26, mencabar isterinya Margarita menjalani ujian bohong dan wanita berkenaan bersetuju.

Menurut portal berita The Mirror yang memetik laporan media Russia, Dmitry sebaliknya membawa isterinya ke sebuah hutan dan menggunakan kapak memukul tangan wanita itu supaya mengaku.

Lelaki itu menyeksa isterinya dengan mengerat jari mangsa namun isterinya tetap menafikan dia curang.

Berang kerana isterinya tidak mengaku, Dmitry menetak kedua-dua tangan isterinya hingga putus.

Lelaki itu kemudian membawa isterinya ke hospital dan menyerah diri kepada polis.

Doktor melakukan pembedahan yang sukar selama sembilan jam untuk menyambung satu tangan wanita berkenaan namun tangan kanannya tidak boleh disambung kerana kerosakan teruk.

Menurut polis berkata, pasangan itu berkahwin selama lima tahun dan mempunyai dua anak lelaki berusia tiga dan empat tahun.

Grachyov kini ditahan untuk siasatan lanjut dan akan didakwa di mahkamah atas tuduhan menyerang isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 8:18 PM