Ibu pejabat UNESCO di Paris, Perancis. - Foto EPA
AFP

AMERIKA Syarikat dan Israel mengumumkan keluar dari agensi kebudayaan dan pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana menuduh agensi berkenaan berat sebelah terhadap Tel Aviv.

Keputusan Washington itu menjadi penutup selepas bertahun-tahun menyimpan rasa tidak puas hati terhadap organisasi berkenaan.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Heather Nauert, berkata keputusan itu menampilkan kebimbangan Amerika terhadap tunggakan yang meningkat di UNESCO, perlunya pembaharuan dalam organisasi itu serta sentimen anti-Israel yang berterusan di badan berkenaan.”

Sebelum ini, Amerika pernah meninggalkan organisasi 195 anggota itu, iaitu ketika pentadbiran Ronald Reagan kerana mendakwa berlaku salah urus kewangan dan pelaksanaan polisi anti-Amerika.

Ia kembali menyertai UNESCO pada 2002, namun pada 2011 Presiden Barack Obama menghentikan pembiayaan badan itu selepas anggotanya mengundi menerima Palestin sebagai anggota.

Washington menolak sebarang tindakan oleh agensi PBB itu untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

Amerika kini berhutang AS$550 juta dengan UNESCO namun Nauert menegaskan undang-undang Amerika melarang kerajaan membayar yuran keanggotaan kepada organisasi yang menyokong pengwujudan Palestin.

Israel dalam satu kenyataan memuji ‘pendirian bermoral’ pentadbiran Donald Trump dan menuduh UNESCO semakin mengarut selepas beberapa resolusi mengecam Israel, termasuk Tel Aviv sebagai penjajah di Baitulmaqdis.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, beliau sudah mengarahkan Kementerian Luar membuat persiapan untuk Israel keluar dari UNESCO bersama Amerika.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 7:57 PM