GAMBAR fail Mahkamah Agung India. FOTO AFP
AFP

New Delhi: Mahkamah tertinggi di sini semalam memutuskan hubungan seks dengan remaja bawah umur tetap diklasifikasikan sebagai rogol walaupun pasangan itu sudah berkahwin, sekali gus menutup kelemahan dalam undang-undang negara itu yang selama ini membolehkan pelaku terlepas daripada hukuman.

Usia sah berkahwin untuk remaja perempuan India adalah 18 tahun, namun ramai yang terpaksa berbuat demikian termasuk yang masih kanak-kanak, terutama yang tinggal di kawasan miskin.

Undang-undang rogol di negara itu tidak terpakai untuk pasangan yang sudah berkahwin seterusnya menyebabkan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur - walaupun tanpa kerelaan mangsa - tidak diklasifikasikan pemerkosaan jika berlaku dalam perkahwinan.

Bagaimanapun, Mahkamah Agung berkata, ia bertentangan dengan undang-undang India yang mementingkan faktor usia dalam pemberian izin bagi mengadakan seks.

Susulan itu, mahkamah memutuskan pada masa depan polis perlu mendakwa kes rogol dalam perkahwinan jika mangsa berusia 18 tahun ke bawah serta membuat laporan dalam tempoh setahun selepas kejadian.

Vikram Srivastava, peguam yang memfailkan petisyen mengenai isu itu di mahkamah, mengalu-alukan keputusan berkenaan yang dianggap mampu memberi perlindungan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa perkahwinan.

“Perkahwinan kanak-kanak dilarang di negara ini, tetapi kita semua tahu ramai yang dikahwinkan sebelum berusia 18 tahun,” katanya.

Kebanyakan ibu bapa di India mengahwinkan anak mereka dengan harapan dapat meningkatkan taraf hidup dan mengelak mendapat malu jika berlaku hubungan seks sebelum kahwin.

Akibatnya, mereka terpaksa berhenti sekolah demi menjaga keperluan suami dan menderita masalah kesihatan kerana melahirkan anak pada usia muda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 9:29 AM