AFP

Singapura: Syarikat media Singapore Press Holdings (SPH) semalam berkata ia akan menamatkan 230 jawatan menjelang hujung tahun ini.

Seperti organisasi media lain di seluruh dunia, perniagaan asas akhbar SPH menerima kesan daripada lambakan penerbitan dalam talian yang menjejaskan pendapatan iklan dan pengedarannya.

Keputusan itu yang didedahkan semalam sebahagian daripada 400 pembuangan pekerja yang sebelum ini diumumkan, dengan proses itu sudahpun dimulakan sebelum ini.

Mengikut perancangan asal, SPH merancang melaksanakannya menjelang hujung 2018 tetapi mengubahnya untuk dilakukan sebelum tahun ini berakhir.

Sejumlah besar pekerja terjejas dari balai berita, kata SPH yang menerbitkan akhbar harian bahasa Inggeris Straits Times selain beberapa akhbar serta majalah lain.

Sehingga Ogos lalu, pekerja SPH berjumlah 4,410 orang.

Ketua Pegawai Eksekutif SPH Ng Yat Chung berkata: “Keuntungan daripada perniagaan media amat lemah akibat gangguan digital.

“Pengurangan drastik perlu bagi memastikan perniagaan media kami lebih kecil dan sesuai dengan persekitaran zaman ini. Dalam pada itu, kami tidak mengetepikan hakikat media cetak masih diperlukan.”

Katanya, tiada perancangan menutup mana-mana akhbar milik SPH.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 9:22 AM