ORANG ramai bersorak selepas mendengar pengumuman Rajoy yang disiarkan di skrin besar di Barcelona, lewat Selasa. - Reuters
AFP

Barcelona: Perdana Menteri Sepanyol Mariano Rajoy semalam mengancam menggantung status autonomi Catalonia selepas pemimpin wilayah itu mendakwa mendapat mandat rakyat untuk berpisah dari Madrid.

Rajoy berazam menggunakan sepenuh kuasanya untuk menghalang kemerdekaan wilayah itu dan tidak menolak membatalkan status separa berautonomi Catalonia - sesuatu yang dibimbangi membawa lebih huru-hara.

Selain itu, semalam, dalam ucapan yang disiarkan rangkaian televisyen Sepanyol, Rajoy meminta pemimpin Catalonia Carles Puigdemont mengesahkan sama ada mereka sebenarnya mengisytiharkan kemerdekaan.

“Penjelasan itu perlu kerana jika benar ia pengisytiharan kemerdekaan barulah kerajaan boleh mengguna pakai peruntukan Artikel 155 Perlembagaan.

“Jawapan kepada persoalan ini akan menentukan hala tujuan kami terutama dalam beberapa hari akan datang,” katanya.

Artikel membolehkan kerajaan pusat mengambil alih pentadbiran wilayahnya yang separa berautonomi.

Rajoy bagaimanapun menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan secara berhati-hati dan bertanggungjawab.

“Kerajaan mahu memastikan rakyat Sepanyol tidak tertanya-tanya susulan kekeliruan yang dibangkitkan pihak berkuasa Catalonia,” katanya.

Puigdemont pada lewat Selasa lalu mengumumkan ‘kemerdekaan tergantung’ Catalonia untuk membolehkan rundingan diadakan dengan Madrid.

Dalam pengumuman itu Puigdemont mendakwa ‘menerima mandat rakyat supaya Catalonia menjadi republik bebas’ susulan referendum yang diharamkan Madrid, awal bulan ini.

Ribuan orang berhimpun di luar Parlimen Catalonia di Barcelona pada lewat Selasa (waktu tempatan) dengan mengibarkan bendera wilayah itu dan kain rentang menyokong kemerdekaannya sambil melaungkan ‘demokrasi.’

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 9:01 AM