PESERTA membawa naga diperbuat daripada jerami dan dicucuk puluhan ribu colok. - EPA
AFP

Hong Kong: Ribuan pengunjung mengerumuni kejiranan bersejarah di Hong Kong untuk menyaksikan perarakan ‘naga api’ yang dinyalakan dengan puluhan ribu kayu colok dan dibawa seolah-olah menari di jalanan dalam sambutan turun-temurun di bandar itu.

‘Naga’ sepanjang 67 meter itu dibawa melalui pelbagai jalan kecil di Tai Hang setiap tahun dengan diiringi bunyi gendang dan antara tarikan utama untuk festival musim luruh tahunan yang disambut semalam.


SEORANG pekerja menyiapkan struktur ‘badan’ naga berkenaan. - AFP


PEKERJA membawa satu bahagian ‘badan’ naga untuk disambungkan dengan bahagian lain. - AFP

Kira-kira 300 orang membawa naga itu - yang tersenarai sebagai warisan tak ketara China - mengelilingi kejiranan berkenaan untuk tiga malam berturut-turut dengan paluan gendang dan asap tebal mengiringi ke mana mereka pergi.

Secara tradisi, hanya lelaki yang juga penduduk Tai Hang - termasuk mereka yang pernah bermastautin di situ - boleh membawa naga berkenaan, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, wanita semakin dekat dengan acara itu apabila turut dibenarkan menjadi pemain gendang.


SEORANG peserta menyalakan lilin di dalam tanglung sebelum perarakan bermula. - AFP

PESERTA menyalakan colok untuk dicucuk pada naga berkenaan. - AFP

Adat itu dipercayai bermula sekitar 1880 selepas kawasan nelayan itu dibadai taufan dan disusuli wabak penyakit.

Untuk mengubah nasib supaya lebih baik, penduduknya mencipta ‘naga api’ dan mengarakkannya selama tiga hari serta tiga malam yang dipercayai berjaya mengusir wabak berkenaan.


PESERTA memasukkan colok ke dalam ‘kepala’ naga berkenaan yang diperbuat daripada jerami. - EPA

Selepas bertahun-tahun penambakan tanah dilakukan, Tai Hang kini menjadi kawasan darat dengan kediaman kondominium dan restoran mewah, tetapi tradisi lama masih dikekalkan.


PESERTA membalut tangan sebelum memulakan perarakan naga api. - AFP

PESERTA memegang ‘kepala’ naga yang dicucuk colok. - AFP

Penduduk dan pembuat naga, Cheung Kwok-ho berkata: “Masyarakat ini begitu berbeza sekarang. Ramai golongan tua sudah meninggalkan kawasan ini, jadi festival tahunan berkenaan peluang untuk kami bertemu semula.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 11:06 AM