ASKAR meronda di sebuah kampung berhampiran bandar Rathedaung di utara Rakhine, Myanmar kelmarin. - EPA

Maungdaw: Pertempuran masih berterusan antara pasukan keselamatan Myanmar dengan kumpulan penentang Rohingya di utara negeri Rakhine semalam, sehari selepas pertempuran yang meragut 89 nyawa, kata pegawai.

Rakhine menjadi pusat keganasan agama yang tertumpu terhadap minoriti Islam Rohingya yang ditindas dan dilayan seperti pendatang haram di negara itu.

Beratus-ratus lelaki Rohingya dipercayai menubuhkan kumpulan Tentera Penyelamat Arakan Rohingya yang didakwa mengetuai penentangan di negeri itu sejak Oktober tahun lalu.

Dalam pertempuran kelmarin, seramai 12 anggota keselamatan dan 77 anggota penentang terbunuh.

Menurut pejabat Aung San Suu Kyi, tiga pegawai kampung dibunuh pada malam kelmarin berhampiran bandar Maungdaw.

Beberapa jam selepas itu, penduduk di Maungdaw melarikan diri selepas sebuah pejabat pentadbiran kerajaan diserang kumpulan penentang.

“Situasi kami adalah genting,” kata seorang pegawai pentadbiran Maungdaw, Myint Kyaing melalui telefon tengah hari semalam sebelum segera memutuskan talian.

Penduduk yang beragama Buddha membawa pisau dan kayu sebagai senjata ketika ketegangan semakin meningkat di bandar itu.

Bandar itu menyaksikan beberapa kali rusuhan antara agama sejak 2012. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 7:43 AM