Menteri Hal Ehwal Luar UAE, Anwar Gargash. - Foto BBC
Agensi

EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) menafikan bertanggungjawab menggodam laman web agensi berita rasmi Qatar yang menjadi punca pertelingkahan Qatar dengan lima negara Arab sejak sebulan lalu.

Reuters melaporkan, Menteri Hal Ehwal Luar UAE, Anwar Gargash, menafikan laporan Washington Post yang didakwanya tidak benar memetik pegawai Amerika Syarikat menyatakan UAE merancang penggodaman agensi berita Qatar itu.

“Berita Washington Post hari ini, bahawa kami menggodam Qatar (agensi berita) adalah tidak benar,” katanya kepada pasukan pemikir Chatham House berpangkalan di Lodon.

Mei lalu, Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani, dilapor memuji Hamas yang mentadbir Gaza dan Iran adalah ‘Kuasa Islam’.

Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir memutuskan hubungan diplomatik serta mengenakan sekatan terhadap Qatar pada 5 Jun lalu, menuduh negara itu membiayai kumpulan militan serta bersekutu dengan Iran - tuduhan yang dinafikan Doha.

Semalam, Washington Post melaporkan pegawai perisikan Amerika mendapati UAE mengaturkan media sosial dan portal berita kerajaan Qatar digodam Mei lalu, bagi menyiarkan kenyataan palsu oleh Emir Qatar itu (mengenai Hamas dan Iran).

Menurut Post, pegawai Amerika mendapat tahu minggu lalu, bahawa pegawai kanan kerajaan UAE membincangkan rancangan menggodam itu pada 23 Mei, sehari sebelum ia berlaku.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada UAE yang menggodam atau mengupah pihak lain untuk melakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 7:13 PM