PENDUDUK Palestin yang enggan memasuki Masjid Al-Aqsa kerana membantah pemasangan pengesan logam dan kamera menunaikan solat di pekarangan luar masjid berkenaan, semalam. - AFP
AFP

Baitulmaqdis: Israel semalam membuka semula kawasan Al-Haram Al-Sharif, kawasan suci bersensitif tinggi selepas menutupnya berikutan serangan yang membunuh dua anggota polis rejim itu Jumaat lalu.

Bagaimanapun, masyarakat Islam enggan memasukinya kerana langkah keselamatan baru dipasang di situ, termasuk pengesan logam dan kamera.

Sekumpulan Muslim berkumpul di luar kawasan berkenaan sambil melaungkan takbir dan kemudian menunaikan solat Zuhur di situ.

Kawasan Al-Haram Al-Sharif termasuk Masjid Al-Aqsa dan Qubbat As-Sakhrah.

“Kami membantah perubahan yang dilakukan rejim Israel. Kami tidak akan berjalan masuk ke Masjid Al-Aqsa dengan melalui pengesan logam itu,” kata pengarah Al-Aqsa, Sheikh Omar Kiswani kepada wartawan di luar.

Tiga lelaki Palestin menembak mati tiga polis Israel di Kota Lama Baitulmaqdis Jumaat lalu sebelum berlari ke pekarangan Al-Haram Al-Sharif.

Rejim Israel kemudian mengambil keputusan menutup Masjid Al-Aqsa untuk solat Jumaat, mencetuskan kemarahan Muslim dan Jordan, penjaga kawasan suci itu.

Kawasan itu juga ditutup semalam, begitu juga dengan sebahagian Kota Lama Baitulmaqdis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 10:49 AM