GAMBAR fail, forensik Thai memeriksa mayat keluarga yang dibunuh di Krabi 11 Julai lalu. - EPA

Bangkok: Polis Thai semalam menangkap semua suspek yang terbabit dengan pembunuhan kejam lapan sekeluarga di selatan negara itu minggu lalu.

Menurut penyiasat, kumpulan terdiri daripada tujuh lelaki berpakaian celoreng itu memasuki kediaman seorang ketua kampung di Krabi, Isnin lalu, sebelum membunuhnya dan tujuh anggota keluarganya, termasuk tiga kanak-kanak, dengan satu tembakan pada kepala setiap mangsa.

Tiga lagi mangsa yang ditembak terselamat termasuk seorang wanita yang berpura-pura mati selepas peluru menembusi telinganya.

Ketua Polis Thailand, Chaktip Chaijinda berkata: “Seramai tujuh orang berada di tempat kejadian. Semuanya sudah ditangkap dan mengaku perbuatan mereka.”

Penyiasat percaya kejadian itu berpunca daripada akibat perbalahan mengenai tanah antara ketua kampung berkenaan dengan seorang ahli perniagaan tempatan dikenali sebagai ‘Bang Fad,’ yang juga sudah ditahan.

Chaktip berkata, Bang Fad terbabit dalam pembunuhan itu manakala yang lain diupah sebanyak 1,000 baht (RM127) dan kemungkinan tidak tahu mereka dikehendaki membunuh.

Disebabkan kumpulan itu berpakaian celoreng, khabar angin tersebar kononnya pembunuh anggota tentera.

Bagaimanapun, Chaktip semalam menolak teori itu dan menegaskan mereka lelaki tempatan dan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 10:48 AM