HALIMAH (dua dari kanan) ketika menghadiri satu majlis kemasyarakatan, semalam. - Agensi

Singapura: Speaker Parlimen republik ini, Halimah Yacob berkata, dia masih menimbang untuk bertanding dalam pilihan raya presiden.

Bercakap kepada wartawan di satu majlis kemasyarakatan di Marsiling, Halimah berkata, dia memerlukan masa untuk berfikir kerana menganggap tugas presiden amat berat.

“Saya perlu berbincang dengan keluarga dan rakan kerja. Ia bukan keputusan yang saya boleh buat sendiri,” katanya.

Sebelum ini, pengerusi sebuah syarikat maritim, Farid Khan Kaim Khan, 62, secara rasmi mengumumkan hasrat untuk menjadi calon.

Farid, pengerusi Bourbon Offshore Asia dalam kenyataannya minggu lalu berkata, dia yakin layak untuk bertanding dalam pilihan raya itu yang dikhususkan kepada masyarakat keturunan Melayu walaupun di dalam kad pengenalannya dia dinyatakan keturunan Pakistan.

Ketua Pegawai Eksekutif Second Chance Properties, Mohamed Salleh Marican, 67, juga mengumumkan hasrat untuk bertanding.

Sebuah jawatankuasa kecil akan menilai kelayakan calon sebelum mengumumkan nama calon yang layak bertanding.

Pilihan raya berkenaan akan diadakan September depan selepas Presiden Tony Tan menamatkan khidmatnya pada 31 Ogos. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 10:43 AM