SEORANG lelaki Palestin bertengkar dengan polis sempadan Israel yang mengawal pintu masuk utama ke Kota Lama Baitulmaqdis, semalam. - AFP
Agensi

Ramallah: Tokoh agama dan politik Palestin semalam mengecam tindakan rejim Israel terus menutup perkarangan Masjid Al-Aqsa dengan menyifatkannya sebagai pencabulan terhadap kebebasan beragama.

Masjid berkenaan kekal tutup semalam, sehari selepas dua anggota polis Israel ditembak mati di luar perkarangannya.

“Tidak ada alasan untuk menutup Masjid Al-Aqsa. Kami menentang tindakan Israel. Kebebasan untuk bersembahyang adalah hak yang dijamin undang-undang dan sebarang tindakan yang mencabulnya adalah ditentang,” kata Sheikh Yusuf Idis, menteri hal ehwal agama Pihak Berkuasa Palestin.

Perkarangan masjid berkenaan ditutup oleh polis Israel selepas tiga penduduk Palestin menembak mati dua askar Israel di Kota Lama Baitulmaqdis.

Solat Jumaat di masjid berkenaan juga dibatalkan.

Ketiga-tiga penduduk Palestin itu kemudian terbunuh selepas ditembak polis Israel di perkarangan masjid itu.

Ini kali pertama solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa dibatalkan sejak puluhan tahun lalu dan pihak berkuasa Israel berkata, masjid itu hanya akan dibuka paling awal hari ini.

Sejurus selepas kejadian kelmarin, rejim Israel juga menahan seketika Mufti Baitulmaqdis, Mohammed Hussein selepas dia cuba memasuki perkarangan masjid itu dan menunaikan solat di kawasan terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 2:56 AM