POLIS menyusun sebahagian syabu seberat satu tan yang dirampas di pantai Anyer di Banten, Indonesia kelmarin. - EPA. Gambar kecil, polis Filipina melihat seorang suspek dadah yang ditembak mati di satu lokasi di Manila. - Agensi
Agensi

Jakarta: Agensi antidadah Indonesia percaya tindakan tegas kerajaan Filipina dalam memerangi dadah menyebabkan penyeludup dadah ketakutan dan mengalihkan operasi mereka ke Indonesia.

Pengarah Badan Narkotik Nasional (BNN), Budi Waseso berkata, jaringan penyeludupan dadah yang aktif di Filipina kini dikesan di Indonesia.

Budi memberitahu, satu kumpulan penyeludup dadah warga Taiwan yang ditangkap kerana cuba menyeludup satu syabu kelmarin dipercayai berasal dari Filipina.

Dadah terbesar pernah dirampas di Indonesia itu cuba diseludup dari China melalui jalan laut.

Dalam serbuan di pantai Anyer di Serang, Banten dekat sini itu seorang lelaki warga Taiwan ditembak mati manakala dua lagi suspek ditangkap.

“Ini baru satu jaringan yang cuba menyeludup satu tan dadah dan kita tidak tahu aktiviti ini baru atau lama.

“Akibat kempen antidadah yang drastik di Filipina kami mengesan jaringan pengedar dadah di negara itu kini berada di Indonesia.

“Pasaran dadah di Filipina juga kini beralih ke Indonesia,” katanya yang dipetik Detik News kelmarin.

Indonesia antara negara yang mempunyai undang-undang antidadah yang ketat di dunia dengan memperuntukkan hukuman mati bagi kesalahan mengedar atau menyeludup dadah.

Bagaimanapun, kempen memerangi dadah yang dilancarkan Presiden Rodrigo Duterte dianggap paling berdarah selepas hampir 3,000 suspek mati ditembak.

Walaupun dikecam pelbagai pihak namun Duterte tetap mempertahankan kempen itu dengan alasan mahu membersihkan masyarakat daripada dadah dan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 4:24 AM