Jet pejuang Sukhoi milik Indonesia. - Foto Antara
Reuters

INDONESIA menempatkan jet pejuang Sukhoi di pangkalannya di Kalimantan bagi menghadapi kemungkinan militan yang berperang dengan Filipina di Marawi, menyusup masuk ke negaranya.

Menurut agensi berita Antara, pemerintah pangkalan udara di Tarakan, Kalimantan Utara, Kolonel Didik Krisyanto, berkata tiga jet Sukhoi tiba Jumaat lalu, dan akan berada di situ selama sebulan.

“Militan mungkin melarikan diri dari Filipina dan menyeberang ke Indonesia,” katanya.

Jumaat lalu, tentera laut Filipina menyatakan militan yang berperang di Marawi, Mindanao, mungkin menyusup keluar bersama orang awam.

Pegawai kanan tentera Filipina, Malaysia dan Indonesia akan bertemu di Tarakan esok, untuk majlis pelancaran rondaan bersama di laut.

Pada majlis itu, Indonesia akan merasmikan pusat pemerintahan di Tarakan dan Laksamana Ferial Fachroni memberitahu Reuters, rondaan itu turut membabitkan tentera darat dan tentera udara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 9:04 PM