KEPULAN asap memenuhi ruang udara di Marawi selepas kawasan yang dipercayai menjadi tempat persembunyian militan dibom, semalam. - Agensi
Reuters

Marawi: Tentera Filipina semalam berkata, beberapa militan yang mengganas dan menguasai sebahagian bandar ini mungkin sudah meloloskan diri selepas bercampur dengan penduduk yang meninggalkan bandar itu berikutan pertempuran sengit yang masuk minggu keempat.

Sehubungan itu, Brigadier Jeneral Restituto Padilla berkata, kawalan keselamatan ditingkatkan di bandar Iligan dan Cagayan de Oro, tidak jauh dari Marawi.

Katanya, pasukan keselamatan kini juga berwaspada dan mencari karekter yang mencurigakan yang mungkin akan mencetuskan kekacauan dan keganasan.

“Kami tidak menafikan kemungkinan beberapa militan meloloskan diri bersama-sama penduduk yang meninggalkan Marawi untuk berlindung sementara di Iligan dan Cagayan de Oro,” katanya kepada wartawan.

Dalam pada itu, tentera Filipina semalam meneruskan penggunaan pesawat OV-10 untuk mengebom kawasan yang dipercayai menjadi tempat persembunyian militan.

Lebih 300 terbunuh dalam pertempuran sejak 24 Mei lalu Marawi itu, termasuk 225 militan, 59 tentera dan 26 orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 2:17 AM