GAMBAR Wattana dirakam kamera litar tertutup di Bangkok bulan lalu. - Bangkok Post
Agensi

Bangkok: Seorang lelaki berusia 62 tahun yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam serangan bom di Hospital Phramongkutklao bulan lalu mengaku turut bertanggungjawab dalam beberapa serangan lain di Bangkok.

Menurut sumber, lelaki itu juga mengaku melakukan serangan itu bersendirian dan tujuannya ialah untuk menyasarkan tentera negara itu.

Pihak berkuasa menahan lelaki itu Khamis lalu yang dikenali sebagai ‘Wattana,’ bekas jurutera elektrik dengan Lembaga Bekalan Elektrik Thailand.

Menurut sumber berkenaan, suspek melakukan serangan itu untuk menyasarkan pasukan tentera kerana mahu membalas dendam terhadap tindakan mereka ke atas penunjuk perasaan baju merah pada Mei 2010.

‘Wattana’ juga mengaku bertanggungjawab terhadap serangan pada 15 Mei dan 5 April lalu serta beberapa serangan lain pada 2007.

Polis yang menyerbu rumah suspek menemui beberapa bahan yang digunakan untuk menghasilkan bom, menurut sumber yang rapat dengan pasukan penyiasat.

Bom yang meletup di Hospital Phramongkutklao itu menyebabkan 25 orang cedera dan ia berlaku pada hari ulang tahun ketiga rampasan kuasa tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 2:13 AM