ABU Bakr al-Baghdadi
AFP

Moscow: Tentera Russia semalam berkata, satu serangan udara di Syria bulan lalu menyebabkan beberapa pemimpin Daish terbunuh dan ia kini berusaha untuk mengesahkan sama ada ketua kumpulan berkenaan, Abu Bakr al-Baghdadi antara yang mati.

Dalam satu kenyataannya, tentera Russia berkata, pesawat Sukhoinya melancarkan serangan pada awal 28 Mei lalu di satu lokasi berhampiran Raqa, tempat pemimpin Daish berkumpul untuk merancang pegunduran kumpulan itu dari kubu kuat mereka.

“Majlis Tentera Daish bersama-sama 30 pegawai berpangkat pertengahan dan sehingga 300 militan yang menyediakan kawalan keselamatan untuk mereka, terbunuh.

“Berdasarkan maklumat yang masih kami teliti menerusi beberapa rangkaian, pemimpin Daish, Ibrahim Abu-Bakr al-Baghdadi turut menghadiri mesyuarat itu.

“Dia juga dikatakan mati dalam serangan berkenaan,” menurut kenyataan berkenaan.

Ia juga memberitahu, Amerika Syarikat dimaklumkan mengenai serangan berkenaan.

Abu Bakr tidak pernah dilihat di khalayak ramai sejak mengisytiharkan dirinya ‘khalifah’ di Mosul, Iraq, tiga tahun lalu.

Lelaki kelahiran Iraq itu yang menjadi orang paling dikehendaki di dunia didakwa cedera atau mati beberapa kali sebelum ini.

Dia juga digelar ‘hantu’ kerana dilapor dilihat di sekitar sempadan Syria-Iraq tetapi kedudukannya tidak pernah dapat disahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 2:08 AM