ABDUL Hafiz bersama koleksinya yang dipamerkan di Ekspo Hobi Malaysia. FOTO/SAIFULLIZAN TAMADI
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

BUKAN sedikit tetapi lebih RM20,000 dibelanjakan Abdul Hafiz Abdul Ghani, 30, untuk membeli figura Hulk sejak mula mengumpul mainan itu pada 2004.

Bagi segelintir individu, wang itu boleh dibelanjakan untuk keperluan lain namun bagi Abdul Hafiz ia bukan pembaziran tapi kepuasan.

Jadi, tidak hairanlah jika pemuda berasal dari Kajang, Selangor ini sanggup menabung kerana menjadi kemestian untuknya membeli mainan berkenaan setiap bulan.

“Sejak kecil, saya meminati karakter Hulk dan ia mungkin kerana fizikalnya yang besar berbanding adiwira lain dalam siri Marvel.

“Sebagai peminat, saya rasa tidak lengkap sekiranya hanya menonton filem dan keadaan itu mendorong mengumpul figura berkenaan.

“Bermula dengan suka-suka, saya terus menambah koleksi yang ada walaupun ibu pernah mempersoalkannya,” katanya.

Bercerita lanjut, Abdul Hafiz berkata, buat masa ini, dia sudah mengumpul 150 figura yang dibeli di kedai mainan dan sebahagiannya menerusi portal jual beli dalam talian.

Katanya, jika bernasib baik, dia dapat membeli mainan berkenaan dengan harga rendah namun ada juga dijual mahal terutama yang jarang ditemui di pasaran.

“Koleksi pertama yang saya beli berharga RM30 tapi nilainya di pasaran kini mencecah hingga RM200 manakala figura paling mahal pernah dibeli pada harga RM1,700.

“Jujurnya, saya berfikir dua tiga kali juga sebelum membeli figura yang mahal namun minat mengatasi segalanya.


ANTARA koleksi figura Hulk kepunyaan Abdul Hafiz.

“Malah, bagi memastikan tidak ketinggalan mendapatkan koleksi terbaru terutama edisi terhad, saya sentiasa mengikuti perkembangan menerusi carian maklumat di Internet,” katanya yang juga anak bongsu daripada tiga beradik.

Menurut Abdul Hafiz, semua koleksi kepunyaannya disimpan rapi di rak bagi memastikan ia tidak hilang dan sentiasa dalam keadaan baik.

Katanya, koleksi itu hanya dikeluarkan daripada simpanan ketika menyertai mana-mana program pameran. Hingga kini, dia masih tidak jemu menjadi pengumpul mainan berkenaan.

“Sebelum ini, saya ada menjual sebahagian daripada koleksi namun tidak serius kerana fokus lebih kepada mengumpul figura berkenaan.

“Jika ada kesempatan pula, saya akan menyertai program menghimpunkan komuniti pengumpul antaranya Ekspo Hobi Malaysia yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor baru-baru ini.

“Penyertaan dalam program seperti itu sekadar untuk berkongsi minat dengan pengunjung di samping berkenalan dengan pengumpul lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 3:50 AM