MOHD Norhusni jadikan pengalaman sebagai jurulatih kecergasan untuk membuka pusat gimnasium sendiri.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Sebelum serius dalam aktiviti bina badan, Mohd Norhusni Abdul Hamid, 22, terlebih dulu menceburi sukan renang ketika berumur lima tahun.

Malah, pemuda berasal dari Kuantan, Pahang ini pernah merangkul gelaran perenang terbaik ketika berumur 11 tahun hasil penyertaannya dalam satu pertandingan di zon pantai timur.

Tidak lama selepas itu, dia beralih pula dalam sukan angkat berat sebelum sebelum aktif dalam sukan bina badan dan ternyata, kesungguhannya berhasil apabila menjadikan minat sebagai kerjaya dengan membuka gimnasium sendiri.

“Saya tidak pernah terfikir untuk aktif dalam sukan bina badan jauh sekali mempunyai gimnasium sendiri kerana lebih terdedah dengan aktiviti renang ketika kecil.

“Namun, segalanya berubah ketika berumur 15 tahun apabila rakan mengajak saya melakukan aktiviti kecergasan.

“Pada mulanya, penyertaan dalam aktiviti itu sekadar untuk suka-suka tetapi kemudian bertukar menjadi hobi yang tidak dapat ditinggalkan sehingga hari ini,” katanya.

Anak bongsu daripada enam beradik ini berkata, sebelum memiliki gimnasium sendiri, dia terlebih dulu menimba pengalaman dengan bekerja sebagai jurulatih kecergasan.

Katanya, pengalaman itu digunakan sebaik-baiknya untuk menguruskan gimnasium sendiri walaupun tiada asas dalam bidang perniagaan.


BERSAMA jaguh bina badan negara, Sazali Samad.

“Selepas tamat persekolahan, saya tidak menyambung pengajian di pusat pengajian tinggi sebaliknya nekad bekerja bagi mencari pengalaman.

“Pada awalnya, keluarga tidak bersetuju tetapi saya berusaha meyakinkan mereka menerusi kejayaan dalam beberapa pertandingan yang disertai.

“Tidak cukup dengan itu, saya kembangkan minat dengan menjadikannya sumber pendapatan menerusi pembukaan gimnasium dan daripada situ, keluarga memberi sokongan kerana mereka nampak kesungguhan saya untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini,” katanya.

Mohd Norhusni berkata, dia tidak mahu berada di zon selesa meskipun impiannya untuk memiliki gimnasium sudah menjadi kenyataan.

“Saya seorang yang tidak suka duduk diam jadi banyak perancangan diatur untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini. Antaranya adalah dengan mengembangkan perniagaan dan menambah cawangan pada masa akan datang.

“Diharap perancangan itu dapat direalisasikan dan pada masa sama, saya akan terus menyertai pertandingan bina badan kerana mahu menambah pengalaman beraksi di pentas berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 10:30 AM