TIDAK gentar di depan tentera Israel.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Tidak seperti kanak-kanak seusianya di negara lain yang membawa buku dan pen ke sekolah, Janna Jihad Ayyad melewati setiap genap bumi Tebing Barat melaporkan penderitaan kanak-kanak mahupun warga Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel.

Kematian dua ahli keluarganya iaitu sepupunya, Mustafa Tamimi yang meninggal akibat serangan kanister gas dan bapa saudaranya Rushdie Tamimi meninggal akibat tembakan di pinggang menjadi pencetus buat gadis berusia 12 tahun ini memulakan ‘kerja’ dengan merakam dokumentari keadaan yang berlaku di sekelilingnya.

Dia mula merakam video sejak usianya tujuh tahun menggunakan iPhone milik ibunya menyatakan senario sebenar di Baitulmaqdis, Hebron, Nablus dan Jordan.

Dunia mengenali Janna sebagai wartawan termuda apabila melaporkan insiden yang berlaku termasuk ketika rakyat Palestin ditahan di pusat pemeriksaan, perarakan protes dan keganasan terhadap kanak-kanak negara tertindas itu.

Katanya, berbanding wartawan dewasa, dia mempunyai kelebihan untuk menyampaikan berita termasuk pembabitannya menyertai beberapa demonstrasi dan berhadapan tentera Israel.


BERSAMA sepupunya aktivis Palestin Ahed Tamimi.

“Kamera ialah senjata saya. Kamera lebih kuat daripada pistol. Saya boleh menghantar mesej kepada orang lain dan rakan saya pula boleh menghantarnya kepada orang lain.

“Kalau wartawan itu orang dewasa mengambil gambar di depan tentera, dia akan ditangkap dan kameranya dirampas.

“Saya menyedari ketika itu kawasan kami, perkampungan Nabi Salleh, tidak mempunyai wartawan yang mencukupi. Jadi saya memutuskan untuk merakam video. Saya mula menggunakan telefon milik ibu untuk merakam semua yang berlaku di sekitar termasuk pengalaman sendiri setiap kali berdepan dengan tentera.

“Kanak-kanak Palestin terpaksa berdepan dengan tembakan kanister gas meskipun hanya bermain bola di tepi jalan, melalui pos kawalan tentera sebelum sampai ke sekolah dan ada kalanya tidak terkecuali terkena peluru getah apabila berlaku demokrasi.

“Tapi kami rakyat Palestin perlu kawal rasa takut dan tidak akan membiarkan ketakutan itu mengawal kami. Andai ketakutan yang mengawal kami, kami tidak akan hidup,” katanya.


TIDAK kekok beraksi depan kamera.

Janna yang aktif di laman sosial dan memiliki hampir 300,000 pengikut menyimpan impian bekerja untuk CNN atau Fox News kerana padanya media terbabit tidak bercakap tulus mengenai Palestin.

Selain Janna, sepupunya Ahed Tamimi antara aktivis yang sering didampingi dalam memperjuangkan nasib kanak-kanak Tebing Barat. Malah kini dia turut lantang memperjuangkan pembebasan sepupunya yang ditahan lapan bulan apabila terbabit dalam insiden menampar dua tentera Israel yang menceroboh kampungnya.


KEKEJAMAN tentera Israel antara senario dokumentarinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 12:46 PM