ISHAQ mahu menghidupkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Pencarian individu paling gagah di Asia Tenggara kini kembali menerusi pertandingan, R U Tough Enough? yang menawarkan hadiah utama bernilai AS$15,000 (RM61,900).

Pertandingan tahunan itu dianjurkan KIX HD dengan kerjasama Fisherman‘s Friend dan penyertaan terbuka kepada semua warganegara tidak kira lelaki mahupun wanita berumur 18 tahun ke atas.

Timbalan Presiden Pengaturcaraan KIX Betty Tsui berbesar hati kerana dapat membawa pertandingan berkenaan ke peringkat antarabangsa.

Pihaknya amat teruja dan mengalu-alukan penyertaan individu dengan personaliti dan latar belakang menarik untuk turut serta.

“Menariknya, peserta pertandingan ini tidak hanya bersaing daripada sudut kekuatan fizikal semata-mata.

“Malah, ia turut menguji kecekalan mental dan ketahanan emosi peserta, jadi penyertaan mereka yang berani menyahut cabaran amat dialu-alukan,” katanya.

Selain hadiah ditawarkan, program itu bertambah menarik dengan penyertaan Ishaq Vadillo, jurulatih kecergasan tempatan yang dipilih sebagai duta R U Tough Enough? Asia Tenggara.

Pemuda kelahiran Scotland berdarah kacukan Melayu Sepanyol itu berkata, sebagai duta, dia mengambil tanggungjawab untuk memupuk gaya hidup sihat supaya menjadi contoh kepada semua terutama peserta yang bertanding.

“Ketika kecil, saya aktif bermain bola sepak, berbasikal, tinju dan aktiviti sukan lain. Namun, minat kemudian beralih kepada bidang kecergasan dan ia didorong oleh kepuasan melakukan rutin senaman.

“Berbekalkan ilmu dan pengalaman, saya tekad membuka studio kecergasan sendiri dengan menawarkan khidmat sebagai jurulatih bagi membantu mereka yang berminat,” katanya.

Meskipun berdepan cabaran merealisasikannya, Ishaq tidak berputus asa kerana tujuan sebenarnya membuka studio kecergasan adalah supaya ia menjadi platform bagi mereka yang mahu bergiat aktif dengan rutin amalan gaya hidup sihat.

“Hakikatnya, negara ini mencatatkan peratusan penghidap diabetes yang tinggi dan keadaan itu amat membimbangkan serta tidak boleh dibiarkan.

“Sebagai jurulatih, menjadi tanggungjawab saya untuk memupuk kesedaran di peringkat awal terutama dalam kalangan generasi muda.

“Salah satunya menerusi perkongsian ilmu ketika sesi latihan dengan harapan dapat menarik minat masyarakat untuk berbalik kepada asas gaya hidup sihat,” katanya.

Pencarian peserta masih diteruskan dan mereka yang berminat boleh menghantarkan permohonan secara dalam talian di www.KIX-TV.com/tough selewat-lewatnya 15 Oktober atau dengan menghadiri siri jelajah Tough Trooper di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Peserta terpilih akan dipanggil menghadiri sesi uji bakat tertutup dan empat finalis kemudiannya dipilih untuk mewakili negara bersama pemenang edisi 2017, Vincent Mallang, seorang jurulatih kecergasan dari Sarawak.

Seterusnya, semua finalis akan berentap dalam acara ‘Final Showdown’ di Sunway Pyramid pada 2 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 12:32 PM