Hazril Md Nor
hazril.nor@mediaprima.com.my

Bercakap mengenai Battle Royale, kita sudah tahu genre permainan video ini sangat popular dan menjadi trend terkini. Lihat saja populariti diperoleh Fortnite dan Player Unknown‘s Battlegrounds (PUBG) sehingga mencatatkan keuntungan jutaan ringgit.

Apa itu Battle Royale? Secara ringkasnya, pemain dikumpulkan dalam satu kawasan luas seperti pulau bersama 99 pemain lain untuk bertarung menjadi yang terakhir hidup di medan pertarungan itu. Sepanjang kembara, pemain akan menemui senjata dan kelengkapan selain berupaya memandu kenderaan di laut dan darat.

Battle Royale biasa dikaitkan dengan penggunaan elemen penembakan tunggal (FPS) tapi kali ini, satu kelainan cuba ditampilkan. Survival Heroes adalah satu permainan mudah alih yang dioptimumkan untuk peranti pintar dan memperkenalkan gabungan dua elemen iaitu Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) dan Battle Royale.

Gunakan lebih 20 jenis senjata

Apa bezanya berbanding permainan lain? Sudah tentu tarikannya ialah pada senjata yang ditawarkan. Disebabkan ia mempunyai elemen MOBA, kelainannya terletak pada lebih 20 jenis senjata yang dijumpai di dalam kotak harta karun ataupun di dalam balang.

Setiap senjata ini menawarkan hingga tiga kuasa yang berlainan jadi pemain boleh bereksperimentasi dengan kuasa berbeza untuk mengelirukan musuh. Jika anda bermain mod duo, pastinya lebih mudah atur strategi dan salah seorang daripada anda berdua boleh memilih menjadi ‚tank‘ dan seorang lagi sebagai ‚damage dealer‘.

Sebagai contoh, senjata yang berbentuk tongkat membekalkan kuasa untuk menukarkan musuh kepada haiwan dan mewujudkan taufan.

Kuasa anda akan bertambah kuat jika karakter mempunyai ‚level‘ lebih tinggi. Jadi sepanjang kembara mencari senjata dan kelengkapan, anda boleh membunuh makhluk buas berkeliaran untuk menaikkan ‚level‘ dengan lebih cepat.

64 orang di satu pulau

Anda akan bermula dengan pertarungan antara 64 orang pemain di satu pulau yang akan mengecil. Dari kapal terbang di awal permainan, anda boleh pilih untuk turun di kawasan mana.

Sebagai contoh, jika anda turun berdekatan naga, ia akan mengurniakan kelengkapan lebih hebat jika dibunuh. Bagi memudahkan untuk menjejak lokasi pemain lain, anda boleh gunakan ‚scout‘ untuk mengetahui lokasi mereka.

Bagi yang ingin hidup lebih lama, anda boleh cuba mengatur strategi menggunakan posyen nyawa dan posyen berkumpulan ataupun skrol yang membolehkan karakter anda bertukar lokasi.

Kumpul emas dan berlian

Kalau anda memenangi lebih banyak perlawanan, maka lebih banyak emas anda terima. Ia boleh digunakan untuk mendapatkan senjata di stor. Ini bermakna senjata ini tak dapat dijumpai dalam perlawanan sehingga anda mendapatkannya dulu.

Berlian pula boleh digunakan untuk mendapatkan ‚rune‘, satu kaedah yang boleh menambahkan kekuatan karakter selama-lamanya. Ia bukanlah konsep ‚pay2win‘ kerana ‚rune‘ ini boleh didapatkan dengan menyelesaikan tugasan.

Anda juga boleh membeli kostum menggunakan tiket ataupun senjata jika anda tak ingin menunggu. Ini membolehkan anda menggayakan karakter mengikut cita rasa masing-masing.

Secara keseluruhannya, Survival Heroes menawarkan beberapa mod menarik, sistem perlawanan unik dan masih mengekalkan elemen Battle Royale yang digemari ramai. Anda boleh muat turun permainan ini di Android dan iOS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 9:59 AM