ANTARA babak lakonan Wong Shan Tie menerusi watak Puteri Santubong.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Tugas melakonkan sesuatu karakter di pentas dramatari bukannya mudah lebih-lebih lagi jika naskhah yang dibawakan berkisar watak legenda.

Tanpa pengalaman, persembahan akan nampak kaku dan mesej penceritaan juga tidak sampai kepada penonton.

Namun, penuntut Ijazah dari Fakulti Tari, Wong Shan Tie , 21, ini membuktikan dirinya mampu membawakan watak Puteri Santubong dengan baik ketika pementasan dramatari Tandak Mengalai, The Exquisite Dances of Sabah & Sarawak di Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA)

“Persediaan untuk pementasan ini mengambil masa selama tiga bulan merangkumi sesi latihan bersama pelakon, pengarah dan seluruh tenaga kerja produksi.

“Cabaran utamanya adalah mendapatkan gambaran karakter berkenaan mengikut pemahaman saya dan agak sukar kerana ia adalah watak legenda. Pada masa sama saya perlu menyampaikannya tanpa dialog iaitu hanya menerusi bahasa tubuh dan gerak tari.

“Namun, saya jadikan watak Puteri Elsa dari filem Frozen sebagai rujukan untuk menghidupkan karakter berkenaan tapi dengan menyuntik elemen tradisional.

“Jujurnya, saya gembira kerana dipilih membawakan watak ini namun lebih berpuas hati dengan persembahan ketika sesi raptai kerana terdapat sedikit kesilapan dilakukan pada hari sebenar pementasan,” katanya.


ANTARA babak lakonan Wong Shan Tie (kiri) yang membawakan watak Puteri Santubong.

Sementara itu, Pengiran Khairul Qayyum Awang Omar, 26, pula berkata, pengalaman membawakan watak putera raja dalam pementasan teater lain banyak membantunya dalam menghidupkan karakter Putera Serapi.

Selebihnya, dia banyak menimba maklumat daripada pengarah dan mendapatkan pandangan penduduk Kalimantan yang tahu berkenaan hikayat kisah berkenaan.

“Dalam pementasan ini, saya perlu membawakan watak seorang putera raja yang tampan dan menjadi rebutan dua puteri bersaudara iaitu Santubong dan Sejinjang.

“Memandangkan saya tidak dapat melontarkan dialog pada hari pementasan, saya lakukannya ketika sesi latihan bagi mendapatkan ekspresi sebenar.

“Pendek cerita, saya perlu menyampaikan watak ini dengan bahasa tubuh termasuk dari segi pergerakan. Jujurnya, saya berpuas hati dengan persembahan terutama ketika hari terakhir pementasan dan rasa lebih yakin membawakan watak berkenaan dengan pemakaian kostum,” katanya yang juga lulusan Seni Persembahan ASWARA itu.


PENGALAMAN membantu Pengiran Khairul Qayyum membawakan watak Putera Serapi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 2:15 PM